[LAPORAN] PIALA BORNEO 2015


KAHERAH, Mesir. Pada 28 hingga 31 Januari yang lalu, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) dibawah kelolaan Biro Sukan dan Kebudayaan (BSUK) telah menganjurkan Kejohanan Piala Borneo Kali Pertama buat julung-julung kalinya. Kejohanan Piala Borneo merupakan acara sukan yang menyaksikan penganjuran kali pertama, program yang menghimpunkan anak-anak Borneo di seluruh Mesir iaitu dari Negeri Sabah, Negeri Sarawak, Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan Indonesia.

Kontinjen mahasiswa di Upacara Pembukaan
    Kejohanan ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam (BruCai), Ikatan Mahasiswa Sarawak (IMSAK) dan Keluarga Mahasiswa Kalimantan (KMKM), selain mendapat tajaan dari Yayasan Sabah. Kejohanan ini dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim sesama anak-anak Borneo yang menuntut di bumi Mesir selain menjadi medan mencungkil bakat dan kebolehan masing-masing.

Dengan tema 'Pemangkin Perpaduan Serantau', kejohanan ini menyaksikan keempat-empat pasukan berentap bagi merebut pingat dalam 7 buah acara iaitu Futsal, Bola Tampar, Bola Jaring, Bowling, Ping Pong, Badminton dan Snooker. Kesemua kontinjen menghantar penyertaan dalam kesemua acara kecuali bagi acara Bola Tampar yang menyaksikan Pasukan Bola Tampar Wanita Sabah menang tanpa bertanding.

Nyalaan Obor
    Kejohanan hari pertama dimulakan dengan Upacara Pembukaan Kejohanan Piala Borneo kali pertama bertempat di Nadi Syabab, Hayyu Sadis. Upacara dirasmikan oleh Tuan Yang di-Pertua Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM), Saudara Pg Mohd Hanif Ag Omar. Turut berlangsung adalah upacara perarakan masuk semua kontinjen, bacaan ikrar kejohanan dan juga nyalaan obor oleh Ketua Kontinjen Sabah, Saudara Mohd Adzlan Robinson.


    Pada hari kedua telah diadakan pertandingan bagi acara Bowling dan Ping Pong yang diadakan di International Bowling Center (IBC) Salah Salem, dan acara Snooker bertempat di Tiba Mall, Awwal Abbas. 

    Hari ketiga pula merupakan pertandingan bagi acara Futsal, Bola Jaring dan Badminton yang diadakan di Nadi Syabab, Hayyu Sadis. Kesemua kontinjen telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan hadir memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.



Futsal Sabah menentang Brunei
    Hari terakhir kejohanan pula menyaksikan perlawanan akhir bagi acara Futsal di antara pasukan Sabah B menentang pasukan Futsal Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Nadi Moya Madinat Nasr. Pasukan Sabah tewas 0-2 kepada pasukan Brunei.


    Diikuti dengan upacara Perasmian Penutupan serta penyampaian pingat kepada para atlet. Upacara Penutupan disempurnakan oleh Encik Azmi Muhammad, wakil dari Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) serta turut dihadiri oleh wakil dari Kedutaan Brunei Darussalam serta barisan kepimpinan BKPSM, BruCai, IMSAK dan KMKM.


    

Barisan tetamu kehormat


Kejohanan Piala Borneo kali pertama ini telah menobatkan kontinjen Negeri Sabah selaku juara keseluruhan dengan pungutan 7 pingat emas dalam semua acara dan kategori yang dipertandingkan. Manakala Saudara Ahmad Azri Ku Othman dan Norhamidah Haji Bidin merangkul gelaran olahragawan dan olaharagawati kejohanan, masing-masing dengan pungutan 2 dan 3 pingat emas. Kedua-dua mereka merupakan atlet yang mewakili Negeri Sabah.



    Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan tenaga kerja, masa dan kewangan bagi menjayakan kejohanan kali pertama ini. Tidak lupa juga kepada Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM), Ikatan Mahasiswa Sarawak (IMSAK), Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam (Brucai) dan Keluarga Mahasiswa Kalimantan Mesir (KMKM), para atlet dan penyokong.


    Semoga  Kejohanan Piala Borneo ini berjaya merealisasikan objektif yang telah disasarkan dan mencapai matlamat perpaduan yang menjadi misi utama penganjuran. 

Lagi arkib foto di Galeri Piala Borneo 2015


Laporan oleh :
Setiausaha,
Biro Sukan dan Kebajikan (BSUK)



Disediakan oleh,
Unit Teknologi dan Maklumat,
Biro Penerangan dan Penerbitan.

Comments

Popular posts from this blog

BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN (BPP) BKPSM SESI 2016/2017

BIRO DAKWAH DAN TARBIAH (BDAT) BKPSM SESI 2016/2017

BIRO SUKAN DAN KEBUDAYAAN (BPP) BKPSM SESI 2016/2017