[LAPORAN] HARI PUTERI 2015

KAHERAH, Mesir. Mahasiswi Sabah telah menganjurkan Hari Puteri 2015 dengan kerjasama Biro Sukan dan Kebudayaan, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir  dan Yayasan Sabah. Kehadiran peserta bagi program ini lebih kurang 50 peserta.

Program sehari ini telah dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan tausiyah Subuh pada pukul 5.30 pagi. Para peserta disajikan dengan sarapan pada pukul 7 pagi di Apartmen 5 sebelum diteruskan dengan sesi pendaftaran pada pukul 8.30 pagi di Perpustakaan Al-Marjan, Wisma Yayasan Sabah Kaherah yang dikendalikan oleh Unit Pengisian iaitu Siti Atiqah binti Md Jeofrey, Nurussakinah binti Melih dan Sanihah Syahirah binti Ku Othman. Program pada sebelah pagi dimulakan dengan WiSa’s Open Session, iaitu pengenalan AJK WiSa, bacaan Qarar oleh Ketua WiSa iaitu Siti Maryam binti Dicky dan Q & A iaitu sesi soal jawab.

Program diteruskan pada pukul 10.30 pagi dengan aktiviti berkumpulan pertama iaitu ‘Humpty Dumpty Bridge’  yang dikendalikan oleh Unit Pengisian. Aktiviti ini menguji kerjasama antara ahli kumpulan untuk membuat jambatan yang diperbuat daripada suratkhabar dan kertas sahaja, dan menggerakkan telur mentah dari hujung hingga pangkal jambatan kertas tanpa menjatuhkan dan memecahkan telur tersebut.  

Seterusnya, pada pukul 11 pagi sesi diteruskan dengan slot ‘Imej Cerminan Diri’ yang disampaikan oleh Ummu Zaimah binti Mohd Noh. Dalam slot beliau, banyak dikongsikan ilmu yang berkaitan keterampilan diri dan cara-cara berhias yang dibenarkan syarie’ sebagai persediaan untuk menghadapi masyarakat. Para peserta turut berkongsi ilmu tentang penjagaan kesihatan diri sebagai tambahan bagi slot beliau.

Peserta-peserta diberi waktu berehat dan solat Zuhur pada pukul 12 tengahari sebelum program diteruskan semula dengan aktiviti kedua pada pukul 1.30 petang iaitu ‘Don’t Break The Circle’. Para peserta diberi peluang untuk merapatkan ikatan persaudaraan dengan aktiviti yang memerlukan mereka untuk bersalaman dengan ahli kumpulan dan membentuk sebuah bulatan tanpa melepaskan tangan ahli kumpulan masing-masing. Seterusnya, daya ingatan dan daya tumpuan para peserta diuji dalam akitiviti ketiga iaitu ‘Potong Lalang’. Oleh sebab tiada pemenang yang pasti bagi aktiviti ini dan atas permintaan tinggi para peserta, aktiviti ditambah dengan aktiviti ‘Goreng Pisang’ yang sekali lagi menguji minda dan kreativiti peserta-peserta.

Pada pukul 2.45 petang, sesi diteruskan dengan LDK iaitu Perbincangan Dalam Kumpulan mengenai ‘Isu-isu Semasa dan Solusi’ yang dikendalikan oleh Siti Maryam binti Dicky. Beliau mendedahkan pelbagai isu yang membantu membuka minda para peserta. Pendedahan beliau adalah bertujuan untuk membentuk mahasiswi-mahasiswi yang mempunyai pemikiran kreatif dan kritis dan peka akan isu-isu yang berlaku di serata dunia. Sesi beliau berakhir pada pukul 5 petang dan para peserta diberi ruang untuk solat Asar dan persiapan bagi Malam Puteri.

Malam Puteri bermula pada pukul 7.30 malam dan berlangsung di Dewan Tun Mustapha, Wisma Yayasan Sabah Kaherah. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada pengerusi majlis iaitu Wan Shahirah binti Mohd Fauzi dan Nur Suhailah binti Siman dan bacaan ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan oleh Khairunnisa binti Hajiri.

Seterusnya, pengerusi majlis menjemput Nur Fadhilah binti Syamsuddin untuk memberikan ucapan beliau selaku pengarah program Hari Puteri dan diikuti dengan ucapan Ketua WiSa merangkap Timbalan Yang di-Pertua III Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir iaitu Siti Maryam binti Dicky dengan ucapan tahniah kepada pengarah program yang telah berjaya merealisasikan Hari Puteri 2015 walaupun ia merupakan pengalaman kali pertama bagi beliau mengarah sebuah program yang besar seperti ini. Majlis penutupan Hari Puteri telah disempurnakan oleh Siti Maryam binti Dicky selaku penasihat program dan Ketua WiSa.

Malam Puteri diteruskan dengan sesi bertukar hadiah sesama peserta diikuti dengan sesi cabutan bertuah. Anugerah Peserta Terbaik telah diberikan kepada Nurul Syamidah binti Jasnin atas komitmen beliau sepanjang program berlangsung manakala gelaran ‘Queen of The Night’ disandang oleh Nur Faizatul Zehan binti Saari. Sesi tayangan video dan sesi bergambar menunjukkan majlis berada di penghujungnya. Selepas sesi bergambar, para peserta disajikan dengan kudapan kemudian Majlis Hari Puteri 2015 ditamatkan pada pukul 11 malam untuk bersurai.

Laporan oleh :
Nur 'Afifatulhadi binti Haidon
Setiausaha,
Hari Puteri 2015.




Disediakan oleh,
Unit Teknologi dan Maklumat,
Biro Penerangan dan Penerbitan.

Comments

Popular posts from this blog

BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN (BPP) BKPSM SESI 2016/2017

BIRO DAKWAH DAN TARBIAH (BDAT) BKPSM SESI 2016/2017

BIRO SUKAN DAN KEBUDAYAAN (BPP) BKPSM SESI 2016/2017