[LAPORAN DAN ARKIB] Majlis Ramah Mesra bersama Yang Berhormat Datuk Hj Mohd Ariffin bin Mohd Arif



KAHERAH, Mesir. Pada 14 Disember 2014 yang lalu, satu Majlis Ramah Mesra dan Sesi Dialog bersama Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Arifin bin Mohd Arif telah diadakan di Dewan Tun Mustapha, Wisma Yayasan Sabah Kaherah, Mesir.

    Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Wisma Yayasan Sabah Kaherah, Ustaz Sabli bin Aliju serta mahasiswa dan mahasiswi Sabah yang menuntut di universiti sekitar Kaherah, Zaqazig dan Tanta.

    Majlis dimulakan pada pukul 7.30 malam dengan dipengerusikan oleh Saudari Noor Amirah binti Salimin. Majlis dibuka dengan para hadirin melaungkan zikir Asmaul Husna, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Sabah Tanah Airku dan Lagu BKPSM. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Saudara Pg. Mohd Hanif bin Ag. Omar selaku Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) Sesi 2014/2015.




    Seterusnya para mahasiswa dan mahasiswi mendengarkan ucapan dan amanat oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Mohd Arifin bin Mohd Arif. Dalam ucapan beliau, Yang Berbahagia Datuk mengingatkan para mahasiswa dan mahasiswi supaya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, tidak kira dalam bidang pengajian apapun. Selain itu, Yang Berbahagia Datuk juga menyeru para mahasiswa dan mahasiswi supaya memantapkan nilai tambah dalam bidang luar pengajian seperti kepemimpinan dan pengurusan organisasi agar dapat bersaing dengan graduan-graduan dari universiti tempatan dan luar negara yang lainnya. Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan persembahan nasyid oleh mahasiswa-mahasiswa Sabah.







 
    Seterusnya majlis menyaksikan sesi dialog di antara Yang Berbahagia Datuk bersama para mahasiswa dan mahasiswi Sabah yang hadir. Para pelajar menyuarakan pelbagai permasalahan, aduan, keluhan dan cadangan termasuklah masalah berkenaan biasiswa, isu kebajikan dan keselamatan, isu penempatan post-graduasi dan peluang kerjaya di tanah air kepada Yang Berbahagia Datuk dengan harapan supaya dapat diperpanjangkan kepada pihak berwajib di Negeri Sabah.



                                                                                                       
                                             

    Tamat sesi dialog, para hadirin dipersembahkan dengan tayangan video promosi Kertas Kerja 'The Smart Move Agendas', diikuti dengan upacara menandatangani kertas kerja tersebut oleh Yang Berbahagia Datuk. 'The Smart Move Agendas' merupakan satu agenda pintar yang menyasarkan pembangunan dan penambahbaikan dalam pelaksanaan program-program anjuran BKPSM, yang mana agenda tersebut merangkumi segenap aspek termasuklah kecemerlangan akademik, sahsiah, kepemimpinan, pengurusan organisasi dan khidmat masyarakat.




    Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Yang Berbahagia Datuk dan tetamu jemputan serta sesi fotografi bersama para pelajar. Semua hadirin kemudiannya dijemput untuk menikmati jamuan makan malam yang disediakan.



    Pihak BKPSM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Arifin bin Mohd Arif serta rombongan atas kesudian menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sesi Dialog ini. Begitu juga kepada Yang Berusaha Pegawai Yayasan Sabah Kaherah, Ustaz Sabli bin Aliju, barisan kepimpinan BKPSM, seterusnya kepada semua anak-anak Sabah Mesir yang menghadiri program dan memberikan kerjasama yang amat cemerlang.

 

  

   

    Semoga Majlis Ramah Mesra dan Sesi Dialog sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.



Disediakan oleh :
Unit Teknologi dan Maklumat,
Biro Penerangan dan Penerbitan.

Comments

Popular posts from this blog

BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN (BPP) BKPSM SESI 2016/2017

BIRO DAKWAH DAN TARBIAH (BDAT) BKPSM SESI 2016/2017

BIRO SUKAN DAN KEBUDAYAAN (BPP) BKPSM SESI 2016/2017