[LAPORAN] MAJLIS PELANCARAN BLOG BKPSM DAN MALAM SATU HATI

    KAHERAH, Mesir. Pada 27 Februari lalu, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Blog BKPSM dan Malam Satu Hati bertempat di Perpustakaan Al-Marjan, Wisma Yayasan Sabah Kaherah (WYSK). Majlis Pelancaran Blog BKPSM merupakan program “Kepentingan Satu” (K1) di bawah kelolaan AJKT BKPSM secara terus manakala Malam Satu Hati merupakan program “Kepentingan Dua” (K2) di bawah kelolaan Biro Sukan Dan Kebudayaan (BSUK).


   
    Majlis dimulakan seawal pukul 7.50 malam dengan para hadirin disajikan dengan tayangan filem animasi 'Big Hero 6' bertempat di sutuh (rooftop) WYSK.

    Pada pukul 9.20 malam, hadirin dipersilakan masuk ke dalam perpustakaan bagi memberi laluan kepada Majlis Pelancaran Blog dan Perasmian Malam Satu Hati. Ustaz Sabli bin Aliju, pegawai Wisma Yayasan Sabah Kaherah tiba diiringi Yang di-Pertua BKPSM, Saudara Pg Mohd Hanif Ag Omar dan barisan AJKT. Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah.

    Majlis telah dipengerusikan oleh Saudari Noor Amiran Salimin. Seterusnya, beliau mempersilakan pengarah program Malam Satu Hati, Saudari Nur Faizatul Zehan Saari memberikan ucapan. Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa filem 'Big Hero 6' telah dipilih untuk ditayangkan berdasarkan tema inovasi dan penciptaan yang diterapkan didalam filem, bertujuan bagi mengajar para siswa dan siswi untuk berfikir diluar kotak dalam rangka memajukan diri dalam bidang akademik dan bidang lainnya. 
Saudari Nur Faizatul Zehan Saari menyampaikan ucapan selaku pengarah
Malam Satu Hati.

    Selain itu, filem tersebut juga dipilih kerana ianya turut mengangkat tema kekeluargaan, kasih sayang dan tanggungjawab yang diharap mampu membawa kepada pengukuhan silaturrahim sesama ahli BKPSM.

    Dalam ucapan Saudara Mohd Azlin Sari selaku pengarah Majlis Pelancaran Blog, beliau menjelaskan bahawa majlis tersebut diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada ahli BKPSM akan Weblog Rasmi BKPSM yang telah diubahsuai dan dikemaskini. Weblog Rasmi BKPSM menghimpunkan segala bentuk info, hebahan, laporan program dan arkib foto bagi semua aktiviti yang dijalankan BKPSM, selain menjadi sumber maklumat utama kepada ahli mahupun bukan ahli tentang perkembangan terkini persatuan. Ianya juga diharap mampu memberi maklumat tambahan kepada pihak luar, terutamanya para penaja tentang perkembangan anak-anak Sabah yang menuntut di Mesir.

Saudara Mohd Azlin bin Sari selaku pengarah Majlis Pelancaran Blog
menyampaikan ucapan beliau.
 


Ustaz Sabli bin Aliju menyampaikan ucapan perasmian
    Majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Sabli bin Aliju. Dalam ucapannya, beliau memuji BKPSM yang kini telah lebih maju dan menyerlah dalam pengurusan program dan aktiviti, terutamanya dalam Seminar Kepimpinan, Jati diri dan Majlis Ramah Mesra bersama Ybhg Datuk Haji Sapawi bin Ahmad yang diadakan baru-baru ini. Beliau juga berharap agar BKPSM akan terus maju dan lebih cemerlang pada masa-masa akan datang.

    Seterusnya, Ustaz Sabli Aliju telah melancarkan blog BKPSM dengan melakukan gimik pelancaran, diikuti dengan tayangan video khas mengenai blog. Kemudian, Saudara Pg Mohd Hanif Omar menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Sabli Aliju diikuti dengan bacaan doa penutup oleh Saudara Habib Farid Habib Gasim, Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah (BDAT). Majlis diakhiri dengan jamuan makan dan sambungan tayangan filem 'Big Hero Six'.

Gimik Pelancaran Weblog Rasmi BKSPM
Foto kenangan Ustaz Sabli Aliju dan AJKT BKPSM

    Ucapan jutaan terima kasih kepada Ustaz Sabli Aliju, barisan AJKT, jawatankuasa pelaksana dan para ahli BKPSM yang sudi hadir bagi memeriahkan majlis. Semoga usaha kecil ini mendapat keredhaan Allah SWT.


Laporan oleh,
Setiausaha-setiausaha Program,
Majlis Pelancaran Blog dan Malam Satu Hati.




Disediakan oleh,
Unit Teknologi dan Maklumat,
Biro Penerangan dan Penerbitan.

Comments

Popular posts from this blog

BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN (BPP) BKPSM SESI 2016/2017

BIRO DAKWAH DAN TARBIAH (BDAT) BKPSM SESI 2016/2017

BIRO SUKAN DAN KEBUDAYAAN (BPP) BKPSM SESI 2016/2017